Tuesday 9 October 2012

SEJARAH MASJID SAYYIDINA ALI, BUKIT KATIL


PENUBUHAN masjid ini agak baru dengan kedudukannya di sekitar daerah Melaka Tengah, namun kewujudannya sudah dipraktikkan sepenuhnya apatah lagi ia menjadi institusi ilmu umat Islam sekitar.
Masjid Sayyidina Ali dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada 15 Disember 2010.

Terletak di Kilometer 11, Jalan Bukit Katil, masjid yang dibuka kepada orang ramai pada Mei 2010 ini dibina dengan kos RM6 juta meliputi 8,093 meter persegi luasnya. Masjid ini mampu menampung 2,500 orang pada satu-satu masa.

Reka bentuk luar dan dalam masjid ini adalah idea asal Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mahukan keindahan Islam dan tradisional Melayu diperincikan dengan kemas dan menarik pada setiap binaan seperti di anjung, beranda, mimbar serta dewan solat utama.


Masjid ini menyediakan kemudahan yang lengkap dengan mewujudkan kediaman pekerja, bilik air lelaki dan wanita di tingkat atas dan bawah, bilik memandikan jenazah, pejabat pengurusan masjid, dewan solat di tingkat atas dan bawah, bilik komputer, bilik bacaan, bilik mesyuarat dan dewan serbaguna. 


Turut disediakan bilik kenamaan lelaki dan wanita sekiranya majlis yang diadakan dihadiri oleh tetamu kehormat seperti mana yang pernah digunakan oleh Ketua Menteri Melaka sewaktu lawatan ke masjid terbabit. 

Mimbar yang terletak di sebelah kanan dewan solat berada di ketinggian hampir dua kaki menjadi lambang akan keteguhan syiar agama kepada umat Islam setempat. 

Terlihat jelas ukiran khat kalimah Allah, Muhammad serta potongan ayat al-Quran menghiasi ruang hadapan masjid memperindahkan lagi reka bentuk dan kesenian sedia ada. 

Masjid Sayyidina Ali amat aktif dalam menggerakkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sama ada kursus untuk pelajar sekolah atau kolej, kursus untuk imam masjid seluruh Melaka Tengah dan program tilawah al-Quran di peringkat tempatan dan antarabangsa. 

Majlis Tilawah al-Quran Dunia Melayu Dunia Islam antara program yang mendapat sambutan di masjid ini. Diadakan selama tiga hari menghimpunkan 16 buah negara dan negeri antaranya China, Singapura, Thailand, Filipina, Afrika Selatan, Riau, Aceh, Perlis, Terengganu, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak. 

Disamping itu, program motivasi Rumahku Syurgaku diadakan untuk pelajar seluruh Melaka selain kelas pengajian fardu ain yang diadakan setiap hari dan majlis agama mengikut kalendar Islam. 

Program korban dan aqiqah dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Temenggong (Yakaytem) yang dihadiri 300 orang terdiri daripada penerima sumbangan daging korban dan aqiqah dari rumah anak yatim, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan fakir miskin mendapat sambutan menggalakkan. 

Masjid Sayyidina Ali turut terkenal dengan kewujudan Maahad Tahfiz Al-Quran 
Masjid Sayyidina Ali (MTQMSA) yang ditubuhkan pada 1 November tahun lalu. 

Maahad terbabit dibuka bagi memberi peluang kepada pelajar berumur 18 hingga 21 tahun terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dalam bidang Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat. Kursus yang ditawarkan adalah Diploma Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat manakala tempoh pengajian selama tiga tahun. 

Kewujudan maahad ini turut memberi impak yang besar kepada peranan institusi masjid. Selain menjadi pusat perkembangan dan pembangunan Islam, Masjid Sayyidina Ali kini turut melahirkan hafiz dan hafizah yang bakal mencorakkan agama rasmi di negara ini.





No comments:

Post a Comment